Faiza Bawumi Sayed Ahmad adalah pemilik syarikat pemborong
beras Syarikat Faiza Sdn. Bhd. pada tahun 1964, wanita kelahiran Mesir ini
telah berhijrah ke Malaysia kerana mengikut suaminya. Pada ketika itu, beliau mampu menguasai
Bahasa Melayu dan fasih berbahasa Melayu setelah hanya tiga bulan di Malaysia
kerana sifat beliau yang peramah dan suka bergaul dengan jiran jirannya.
Meskipun sudah berusia lingkungan 60an,
beliau yang mempunyai tujuh orang anak dan juga seorang nenek kepada 32 cucu
sibuk masih giat merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam
pelbagai cabang perniagaan di negara ini.
Wanita yang berperwatakan lembut itu sebenarnya seorang yang
tegas. Beliau mahu memastikan syarikat yang ditubuhkan perlu berada di landasan
betul sekali gus mencatatkan keuntungan saban tahun. Puan Faiza yang memangnya
dilahirkan dalam keluarga yang juga bergiat dalam perniagaan. Berkecimpung
dalam bidang perniagaan sejak kecil, beliau pernah menjadi juruwang di kedai
milik bapanya. Pengalaman tersebut mendorong beliau untuk bergiat secara serius
dalam bidang perniagaan.
Setelah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata yg pertama,
beliau mengikut suaminya berhijrah ke
Malaysia. Puan Faiza mencari aktiviti berfaedah yg boleh dilakukannya bagi
mengelakkan masanya terluang begitu sahaja. Beliau bermula dengan mengambil
upah menjahit sulaman dengan modal RM4 dan menjual pelbagai barangan dapur.
Beliau juga membeli kain ela dan membuat baju gaun untuk anak-anak kecil
jiran-jirannya. Kemudian beliau menghasilkan set sarung bantal. Hasil
jahitannya yang cantik dan kemas dijual kepada kawan-kawannya. Seterusnya,
beliau berniaga set ensiklopedia, diikuti bisnes pinggan mangkuk. Melalui
bisnes kecil kecilan ini, beliau menabung wang bagi menjadikan modal bisnes seterusnya. Beliau berminat pula menghasilkan rempah kari. Beliau
membeli pelbagai rempah ratus seperti ketumbar, jintan, halba, cili kering,
cengkih dan sebagainya untuk membancuh ramuan-ramuan tersebut bagi menghasilkan
rempah kari ikan dan daging di bawah jenama Bunga Raya. Semuanya dilakukan
sendiri di rumah, daripada mencuci, menjemur dan menggoreng rempah ratus
tersebut. Kemudian, beliau menghantarnya ke kedai bagi dikisar dan diedarkan.
Selang beberapa tahun kemudian, Puan Faiza membeli pula
sebuah mesin pengisar dan membuka kedai runcit dengan modal daripada menjual
rempah kari itu. Dari situ beliau mendapati bahawa pemborong beras
kebanyakannya dibekalkan oleh kaum lain. Beliau mula belajar pelbagai jenis
beras. Puan Faiza memohon lesen pemborong beras dan menjual pelbagai jenis
beras termasuk ponni, basmathi, beras wangi serta beras Siam setelah mendapat
maklumbalas positif atas usaha selidik beliau pergi dari satu kedai ke satu
kedai bagi mendapatkan respon sama ada mereka akan membeli berasnya jika beliau
menjualnya. Para pelanggan yang melanggan rempahrempah beliau turut membeli
beras daripadanya.
Pada permulaan, beliau agak buntu melihat satu lori treler
penuh berisi beras diletakkan di hadapan rumah, namun beliau nekad dengan
berusaha membungkus menggunakan jenama Bunga Raya dan menghantar ke kedai-kedai
di seluruh Johor. Perniagaan beliau mendapat sambutan walaupun mendapat
persaingan yang agak sengit. Pada awal tahun 90an, syarikat telah mengambil
peluang ke atas kepekaan masyarakat pada ketika itu kepada cara pembuatan dan
kandungan makanan. Syarikat mula memperkenalkan dengan sejenis kategori beras
berkualiti dari Kartanaka, India. Beras ini adalah jenis beras “Ponni”. Menerusi produk berkualiti dan berkhasiat
sesuai untuk pesakit seperti pesakit diabetis, SFSB memperkenalkan beras “Ponni” ini ke seluruh Malaysia. Syarikat beliau kini telah dikenali kerana kualiti produk
yang tinggi, seratus peratus buatan Islam dan halal. Beliau berharap dengan
penglibatan dalam penghasilan produk tersebut ia memberi pilihan kepada orang
Islam untuk mendapatkan produk yang bermutu tinggi dan tanpa was-was meragui
status halalnya.
Puan Faiza bukan sahaja menjadi Pengarah Urusan Syarikat
Faiza, tetapi turut bertungkus-lumus menentukan operasi syarikat berjalan
lancar dan turut terlibat dalam projek kilang milik Syarikat Faiza bernilai
RM14 juta di Sri Gading, Batu Pahat. Kejayaan beliau sekarang bukan diperolehi
dengan mudah, tetapi setelah mengharungi segala cabaran selama 43 tahun
berkecimpung dalam dunia perniagaan. Puan Faizah berkata semua usaha yang
dilakukan itu bukanlah untuk mengumpulkan kekayaan sebaliknya untuk menjadi
pembayar zakat terbesar di Malaysia sekali gus membantu lebih ramai orang yang
susah.

No comments:
Post a Comment