My Blog List

Friday 4 October 2013

INFO USAHAWAN BERJAYA

Untuk menjadi usahawan yang cemerlang, seseorang itu perlu melengkapkan diri dengan beberapa ciri tertentu. Ciri utama ialah memastikan mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang bidang perniagaan yang diceburi. Ini bermakna usahawan perlu berusaha mendapatkan semua maklumat yang perlu mengenai perniagaan yang menjadi pilihan mereka. Pemilihan bidang perniagaan tidak boleh dilakukan secara ikut-ikutan sahaja, iaitu mengikuti perniagaan orang lain yang berjaya tanpa mengetahui selok-belok bidang tersebut. Kejayaan orang lain dalam sesuatu bidang perniagaan tidak bererti kita juga akan berjaya dalam bidang yang sama. Kita perlu tahu beberapa perkara asas tentang bidang perniagaan yang dipilih seperti berikut:
  • Maklumat mengenai produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan.
  • Maklumat pasaran yang disasarkan.
  • Maklumat mengenai persaingan.
  • Maklumat mengenai bekalan dan pengeluaran.
  • Struktur kos, penetapan harga dan kadar keuntungan.
  • Kelakuan-kelakuan tertentu dalam industri yang diceburi
Selain dari pengetahuan yang mendalam tentang bidang perniagaan yang dipilih, usahawan juga perlu mempunyai beberapa ciri peribadi yang merupakan ciri-ciri utama keusahawanan. Kita tidak nampak bagaimana seseorang usahawan akan berjaya tanpa ciri-ciri seperti berikut:
  • Komitmen yang tinggi dan sanggup bekerja kuat.
  • Jujur dan ikhlas.
  • Berdaya kreatif.
  • Mahir berkomunikasi.
  • Berani menanggung risiko.
  • Bijak membuat penilaian dan keputusan.
Ramai yang telah menerokai bidang keusahawanan, ada yang sudah berjaya dan tidak kurang juga yang menemui kegagalan. Jika terdapat dua orang yang menceburi perniagaan yang sama, tidak semestinya mereka mendapat keputusan yang sama. Kajian menunjukkan terdapat beberapa faktor utama yang membawa kejayaan atau kegagalan seseorang dalam bidang keusahawanan. Di antara faktor kejayaan ialah:
  • Pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang diceburi.
  • Keinginan yang kuat untuk berjaya.
  • Berdisiplin dalam menguruskan perniagaan.
  • Memberi tumpuan dalam perniagaan.
  • Mempunyai pasukan pengurusan yang cekap.
  • Membentuk jaringan perniagaan yang luas.

PENGENALAN

Legasi keusahawanan yang telah mula meresap masuk ke dalam arena perniagaan menjadi sebutan mulut setiap peringkat masyarakat. Fenomena ini lebih kuat dirasai oleh mereka yang mempunyai keinginan serta ciri-ciri seorang usahawan. Pada masa lampau, keusahawanan dilihat sebuah aspek atau bidang yang subjektif yang mana ianya sangat susah diterjemahkan ke dalam bentuk definisi yang spesifik. Berbanding pada era baru ini, keusahawanan telah menjadi teras utama dalam pembangunan nasional terutama bidang keberhasilan negara kerana negara melihat prospek masa depan bidang ini yang sebegitu cerah. Oleh kerana itu, kerajaan melalui pelbagai gabungan agensi termasuk badan bukan kerajaan telah mula menggorak langkah membina empayer keusahawanan dengan pembangunan  pelbagai program dari segenap lapisan masyarakat. Dari aspek pendedahan awal usahawan sehingga praktikaliti keusahawanan turut dijalankan. Tidak cukup dengan itu, usaha kerajaan membawa masuk suntikan semangat usahawan ke dalam sistem pendidikan negara juga disambut baik oleh semua pihak terutama pihak sekolah, Pusat Pengajian Tinggi dan tempat-tempat pengajian lain. Dengan berbekalkan kepercayaan bahawa kita Malaysia boleh mengubah negara ke suatu arah negara berkeusahawanan, maka "Transformasi Minda Usahawan" perlu dilaksanakan dengan perancangan yang rapi merangkumi kesemua aspek dalam keusahawanan.